Sekolah Menengah Islam Hidayah Pasirris Batu Pahat

#PDP | Gamifikasi dalam Hafazan

Antara subjek yang paling sukar untuk mendapatkan 100% pencapaian adalah subjek hafazan. 

Di sekolah-sekolah IKRAM Musleh, murid sekolah menengah dikehendaki untuk menghafal 1 juzu’ setiap tahun bermula tingkatan 1 sehingga tingkatan 5. 

Namun tahap penguasaan murid amat berbeza. Terdapat murid yang hanya memerlukan 15 minit untuk menghafal satu mukasurat, manakala terdapat murid yang tidak mampu menyelesaikan 5 baris dalam 1 jam.

Antara faktor yang utama adalah motivasi.

Bagaimana tidak?

Bukan mudah untuk mengulang ayat yang sama, berulang-ulang, dan diulang lagi. Bahkan mengulang hanya mengulang bunyi tanpa memahami makna dan isi. 

Anak remaja ingin merasai pencapaian! Namun pengulangan demi pengulangan tidak dirasakan seperti pencapaian!

Lalu bagaimana caranya untuk menghilangkan kebosanan ini? 

Kita iktiraf pencapaian mereka sedikit demi sedikit. 

Perhatikan: Gamifikasi dalam Hafazan.

Gamifikasi bermaksud mengambil elemen-elemen “game” atau permainan dan diterapkan sebagai elemen penggalak dalam aktiviti yang lain. 

Antara perkara yang menyebabkan permainan video menjadi sangat mengetagihkan ialah pengiktirafan terhadap setiap pencapaian pemain, walaupun sekecil-kecil pencapaian!

Jadi persoalan di sini adalah, bagaimanakah kita boleh laksanakan gamifikasi ini dalam subjek hafazan?

Mudah sahaja, kita berikan mata nilai untuk setiap usaha yang dibuat oleh murid; baik berjaya mahupun gagal. 

Iktiraf semua usaha mereka untuk menghafal ayat-ayat suci al-Quran. 

Kemudian kita berikan cara untuk mereka mengukur usaha mereka ini – kita berikan level-level tertentu bagi himpunan mata nilai tertentu. Oleh itu murid dapat melihat perkembangan mereka sedikit demi sedikit. 

Adakah kaedah ini berkesan? 

Setakat pelaksanaan yang telah dilaksanakan, kami melihat murid menjadi bersemangat sekiranya ada maklum balas berterusan terhadap prestasi mereka. 

Apatah lagi apabila wujud tahapan yang boleh diukur, mereka bersaing pula secara sihat antara satu sama lain.

Sebagai kesimpulan, kaedah ini bukanlah kaedah untuk mempermainkan al-Quran, bahkan ini adalah kaedah untuk menggalakkan murid meningkatkan hafalan al-Quran. Kaedah ini boleh jadi berkesan, andainya guru sentiasa memberikan maklumbalas dan berkomunikasi secara positif dengan murid. 

WALLAHU a’lam